AYER KEROH, 5 Disember – Kerajaan Melaka mencadangkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dilengkapi sebuah jengkaut bagi memastikan urusan pengebumian lebih cepat, teratur dan tidak membebankan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia adalah inisiatif baru yang sedang diperhalusi bagi menyediakan 10 liang lahad siap lebih awal di tanah perkuburan di setiap DUN.
Penyediaan awal liang lahad itu memudahkan tugas penggali kubur yang hanya perlu melakukan kerja kemasan terakhir jika berlaku kematian.
“Biasanya, apabila berlaku kematian barulah kita mencari siapa yang akan menggali kubur, dan keadaan ini sering menimbulkan kesukaran.
“Sebab itu, saya mencadangkan supaya peruntukan ini dipindahkan bagi membeli sebuah jentera penggali (excavator) untuk satu DUN. Dengan adanya jentera ini, kerja-kerja penggalian kubur di semua tanah perkuburan dapat dilakukan lebih cepat dan teratur.
“Kita juga boleh menyediakan sehingga 10 liang lahad secara awal, supaya apabila berlaku kematian, liang kubur tersebut sudah sedia digunakan. Justeru, saya mencadangkan pembelian jentera ini bagi memudahkan pengurusan pengebumian di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini.
Dalam pembentangan bajet itu juga, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengumumkan penyediaan elaun sebanyak RM576,000 kepada penggali kubur Masjid Kariah Negeri Melaka sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka.

