Melaka bangunkan sistem himpun platform perniagaan dalam talian

AYER KEROH, 10 Disember – Melaka membangunkan sebuah sistem yang menghimpunkan semua platform perniagaan dalam talian bagi membantu usahawan tempatan dalam usaha menggalakkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) beralih kepada platform perniagaan digital.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Alex Seah Shoo Chin berkata, platform tersebut memudahkan usahawan mengurus dan menyelaras jualan produk mereka.

Setakat ini, seramai 120 usahawan disasar menggunakan platform itu dan jumlahnya akan diperluas, sekiranya mendapat sambutan.

“Kita telah melihat dan mengkaji, platform itu lebih mudah untuk digunakan oleh individu yang tidak begitu memahami IT, juga boleh gunakan. Jadi lebih mudah untuk usahawan.

“Untuk tahun ini, kita sasarkan 120 orang akan menggunakan platform itu dan bagi tahun 2026, kita ada tambahan lagi 120,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini.