Media sosial: penetapan had umur lindungi pengguna daripada eksploitasi

PUTRAJAYA, 6 Disember – Penetapan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial bertujuan melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada dieksploitasi atau didedahkan dengan perkara tidak sepatutnya dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkongsi aduan seorang guru yang menerima mesej daripada anak muridnya menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta gambar tidak senonoh.

Menurut beliau, insiden tersebut menjadi antara contoh jelas keperluan menetapkan had umur minimum bagi penggunaan media sosial.

“Pelajar itu adalah pelajar tahun empat. Jadi pastinya bawah usia 16 tahun. WhatsApp sendiri kenakan sekatan iaitu tak benarkan kanak-kanak menggunakan WhatsApp. Persoalannya kenapa perkara itu boleh berlaku dalam WhatsApp?.

“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan platform media sosial dan sistem pemesejan internet seperti WhatsApp. Saya percaya Kementerian Pendidikan Malaysia sedia maklum dengan perkara-perkara seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 di sini.

Datuk Fahmi turut memaklumkan Kementerian Komunikasi bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bagi menjamin penggunaan internet yang selamat.