KUALA LUMPUR, 9 Disember – Media merupakan jambatan komunikasi yang menghubungkan antara institusi kebajikan dengan masyarakat dalam pengurusan zakat, bantuan, pembangunan asnaf dan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, media berperanan sebagai nadi penting dalam memperluas kefahaman tentang pembangunan ummah dengan menyampaikan mesej yang tepat dan telus.
“Setinggi-tinggi penghargaan atas hubungan profesional dan kerjasama erat yang telah terjalin selama ini. Sokongan anda bukan sahaja membantu memperluas capaian maklumat, tetapi turut mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap usaha MAIWP dalam memacu pembangunan asnaf dan kebaikan ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi MAIWP-Media di ibu negara.
Menurut Datuk Syed Kamarulzaman, pengiktirafan atas sumbangan pihak media telah memperkukuh sinergi tersebut demi penyebaran dakwah dan kebajikan di Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata sumber kutipan zakat kini telah diperluas melalui aset digital daripada peneraju industri baharu, seperti perniagaan telekomunikasi dan penggiat ekonomi digital, termasuk mata wang kripto dan bitcoin.
Lantaran itu, MAIWP komited untuk memastikan agihan yang tepat dan menepati keperluan semasa dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

