Mansuh Program Articled Clerkship, Kerajaan masih teliti cadangan LPQB

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Kerajaan masih meneliti secara menyeluruh cadangan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] yang dikemukakan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) bagi memansuhkan latihan amali profesional dalam bidang guaman atau “articled clerkship programme”.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran menegaskan LPQB perlu meneliti semula cadangan pemansuhan peruntukan tersebut.

Ini dengan mengambil kira kepentingan rakyat, peluang pendidikan alternatif dan potensi penambahbaikan program.

“Sebarang pindaan hanya boleh dibuat selepas penelitian dan libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan termasuk kementerian dan agensi kerajaan, ahli-ahli parlimen, pengamal undang-undang dan ahli akademik khususnya fakulti undang-undang,” ujar beliau dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat pindaan kepada Akta 166 bagi memansuhkan articled clerkship programme yang
memberi laluan kepada individu untuk menjadi peguam tanpa mengambil ijazah undang-undang dengan sepenuh masa.

Menurutnya, fokus kerajaan ketika ini memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan akauntabiliti LPQB dengan pindaan kepada Akta 166 melalui Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Disember lalu.