Malaysia terus desak dunia bertindak balas atas kezaliman Israel di bumi Palestin

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Malaysia terus berusaha memastikan Israel dikenakan tindakan di bawah undang-undang antarabangsa berikutan pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata serta jenayah terhadap rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata usaha itu dizahirkan melalui penyertaan aktif Malaysia dalam prosiding penting di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), termasuk dalam kes-kes yang menyokong Palestin.

“Pada 22 Oktober 2025, ICJ telah mengeluarkan pendapat berpihak kepada Palestin. Keputusan itu turut mengesahkan hujah-hujah perundangan yang dikemukakan Malaysia melalui kenyataan bertulis pada 28 Februari 2025 dan kenyataan lisan pada 28 April 2025 di ICJ,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keputusan terbaharu ICJ, bersama pendapat nasihat tahun 2004 dan 2024, mengesahkan pendudukan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki serta tindakan yang mencabul undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.

“Ia juga menegaskan hak mutlak rakyat Palestin, termasuk hak menentukan nasib sendiri, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa,” tambah beliau.

Malaysia, melalui kumpulan The Hague, akan terus menerajui pelaksanaan keputusan ICJ dengan langkah konkrit, termasuk mengenakan sekatan perdagangan ke atas Israel dan melarang kapal Israel berlabuh di negara ini.

Datuk Mohamad Alamin menjawab soalan Senator Hussin Ismail mengenai langkah kerajaan bagi memastikan Israel dikenakan tindakan sewajarnya di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau menambah, Malaysia juga sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sepemikiran untuk mengusulkan resolusi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bagi melaksanakan pendapat nasihat ICJ terbaru.

Pada masa sama Malaysia terus menyokong kes Afrika Selatan di ICJ berhubung pencabulan Konvensyen Genosid 1948 oleh Israel dan tindakan jenayah yang akan diambil melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).