KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam penyelidikan nutrisi minyak sawit, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika merasmikan The Nutrition Satellite Symposium bersempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2025), pada Isnin.
Ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, yang menegaskan bahawa Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam kajian nutrisi berasaskan sains melalui penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Ini merangkumi kajian komponen bioaktif seperti tokotrienol, karotenoid dan lipid berstruktur yang semakin mendapat perhatian antarabangsa.
Menurutnya, penyelidikan tersebut bukan sahaja memperkukuh pemahaman terhadap nilai nutrisi minyak sawit, malah menghubungkan penemuan makmal dengan aplikasi sebenar dalam diet serta kesihatan pengguna.
Beliau turut menyoroti PEACE Study, antara projek penyelidikan terbesar negara yang diterajui MPOB bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian itu menilai secara menyeluruh kesan pengambilan minyak sawit terhadap kesihatan rakyat, termasuk risiko kardiometabolik, keradangan dan nutrigenomik.
Dalam masa sama, kerajaan turut meluluskan penggunaan minyak sawit merah (red palm oil) dalam program pemakanan kanak-kanak, termasuk penghasilan biskut berasaskan RPO bagi membantu golongan rentan.
“Antara pencapaian besar yang diketengahkan ialah kelulusan kerajaan China untuk penggunaan tokotrienol sawit sebagai ramuan makanan, satu kejayaan penting sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China,” katanya.
Datuk Seri Johari Johari turut menegaskan bahawa Malaysia menawarkan ekosistem penyelidikan, inovasi dan tadbir urus rantaian bekalan yang kukuh, sekali gus menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh sains nutrisi dan kemampanan industri sawit.
Simposium berkenaan menjadi bukti komitmen Malaysia untuk terus menerajui penyelidikan nutrisi minyak sawit di peringkat global.

