Malaysia punya kelebihan jadi pengeluar utama SAF

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Malaysia kekal optimis untuk menjadi antara pengeluar utama Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), meskipun Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan pengeluaran global SAF mungkin tidak mencapai sasaran menjelang 2026.

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Malaysia memiliki kelebihan asas yang tidak dimiliki banyak negara lain, iaitu ketersediaan bahan mentah berasaskan sisa, khususnya Minyak Masak Terpakai (UCO) dan sisa industri sawit.

“Banyak negara lain mempunyai kemudahan pemprosesan SAF, tetapi bergantung sepenuhnya kepada import bahan mentah. Malaysia sebaliknya berada dalam kedudukan lebih kukuh kerana mempunyai rantaian bekalan sedia ada yang stabil dan berpotensi untuk ditingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Tuan Che Alias Hamid semasa persidangan Dewan Negara.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelaburan PETRONAS dalam projek pengeluaran SAF adalah keputusan perniagaan strategik yang telah melalui proses due diligence secara teliti, berasaskan prospek permintaan global yang kukuh.

Projek-projek ini dirangka berdasarkan unjuran permintaan jangka panjang, termasuk pelaksanaan mandatori ICAO-CORSIA yang akan berkuat kuasa mulai 2027.

Bawah mekanisme tersebut, syarikat penerbangan global perlu mengurangkan kadar pelepasan karbon dan penggunaan SAF akan menjadi keperluan operasi, bukan lagi pilihan.

Ini bagi menjamin pasaran yang besar dan berterusan untuk SAF, sekali gus mengukuhkan rasional komersial pelaburan PETRONAS serta pengeluar lain, seperti EcoCeres.