Malaysia–Kenya sepakat luaskan kerjasama strategik serantau dan global

NAIROBI, 24 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya, William Samoei Ruto mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang diadakan di Istana Negara Kenya, kediaman rasmi Presiden, di sini. 

Mesyuarat tersebut antara lain membincangkan secara lebih mendalam hubungan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Kenya.

Antara bidang yang diberi penekanan, merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian, industri halal, pendidikan, pembangunan modal insan, teknologi digital serta peluang baharu dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, pembangunan bandar lestari dan industri kreatif.

Malaysia menyatakan kesediaan dan komitmen untuk terus menyokong aspirasi Kenya sebagai hab penting di Afrika Timur, khususnya dalam bidang digital, inovasi, TVET dan peningkatan kapasiti selaras dengan semangat kerjasama Selatan-Selatan yang didukung Malaysia.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan berhubung perkembangan serantau dan global, termasuk isu Palestin dan Sudan, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta keperluan mendesak bagi reformasi sistem antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan mencerminkan suara negara membangun.

Malaysia turut menghargai peranan signifikan Kenya sebagai tuan rumah kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan bersedia memperluas kerjasama dalam agenda pembandaran mampan serta pembangunan bandar yang berdaya tahan.