Malaysia kekal dasar luar bebas, berkecuali – PM

SEBERANG JAYA, 8 November – Malaysia akan terus mengekalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, prinsip tersebut menjadi asas penting kepada kerajaan dalam membina jaringan diplomasi dan perdagangan dengan semua negara bagi menjamin kepentingan ekonomi serta pekerjaan rakyat.

“Pendirian kita dengan negara negara ini (bersifat) centrality (pemusatan) maknanya kita berdagang dengan semua. Presiden Donald Trump melarang semua wakil Amerika hadir ke G20 tapi saya akan hadir G20, kerana Malaysia negara merdeka dan berdaulat dan bebas, kalau kita tunduk pada arahan Amerika, kita tidak akan pergi,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan seimbang itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, selain memperluas kerjasama ekonomi dengan negara lain, termasuk Korea Selatan dan Australia.

Datuk Seri Anwar berkata, dasar berkecuali itu turut memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menjadi rakan dagang strategik dan destinasi pelaburan yang diyakini di rantau ini.

Menurutnya, pendirian tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan kebebasan negara adalah bukti Malaysia tidak tunduk kepada tekanan geopolitik, sebaliknya mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Tapak Ekspo Seberang Jaya, hari ini.