LAWAS, 7 Disember – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebuah mesin cerucuk dalam kejadian di Kampung Peruan, Long Tuma, Lawas, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Bili Muli, 31, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lawas.
Menurut PGO, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Mangsa dikeluarkan dari kenderaan menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi memudahkan kerja-kerja pemotongan kenderaan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 6.45 petang,” menurut kenyataan tersebut.

