Lebihan cukai : RM14.55 bilion telah dibayar semula setakat November 2025

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Kerajaan komited mempercepatkan proses bayaran balik lebihan cukai dan wang kepada pembayar cukai setiap tahun, dengan sejumlah RM14.55 bilion telah dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 30 November 2025.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata jumlah itu melibatkan 3.47 juta kes, meningkat 17.5 peratus berbanding tahun 2024 yang merekodkan bayaran balik sebanyak RM12.39 bilion melibatkan 2.71 juta kes.

Daripada jumlah tersebut, 3.34 juta kes telah diselesaikan sepenuhnya dengan nilai bayaran balik berjumlah RM13.32 bilion.

Beliau berkata susulan pengumuman Perdana Menteri, kerajaan akan melaksanakan bayaran balik tambahan berjumlah RM4 bilion pada Disember ini, dengan RM1 bilion melibatkan 6,480 kes sedang diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai minggu ini.

“Tambahan RM1 bilion lagi akan diproses pada minggu hadapan, manakala baki RM2 bilion dijadualkan diselesaikan sebelum akhir Disember,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong pada sesi Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan pengurusan bayaran balik lebihan cukai dilaksanakan secara adil dan saksama, LHDN telah merangka strategi pengagihan berasaskan keutamaan usia tunggakan.

Antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk penggunaan konsep first in, first out, bayaran penuh bagi tunggakan lebihan cukai pembayar cukai individu, serta pemberian keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.

Lim berkata kelewatan bayaran balik lazimnya berlaku apabila maklumat dikemukakan tidak lengkap atau tidak tepat, yang memerlukan semakan lanjut serta pengemukaan dokumen sokongan tambahan oleh pembayar cukai.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus berusaha memastikan bayaran balik lebihan cukai dapat dilaksanakan sepenuhnya secara adil, telus dan saksama, dengan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai.