KUALA LUMPUR, 1 Disember – Sebanyak 4,564 tindakan pendakwaan dikenakan melibatkan pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja sepanjang Januari hingga Oktober lalu.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, daripada jumlah itu, 1,276 kes atau 27.95 peratus membabitkan syarikat yang gagal mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan nilai tunggakan caruman berjumlah RM31.14 juta.
“Majikan yang ingkar mencarum PERKESO tidak akan diberikan notis kompaun, sebaliknya akan terus dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah.
“Pelbagai usaha penguatkuasaan terus dilaksanakan, termasuk Op Pemutihan, pemeriksaan rawak di premis serta kempen pendaftaran seperti Proud to Register melalui platform fizikal dan media sosial,” kataya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim di Dewan Negara, pada Isnin.
Beliau turut menyeru, semua majikan untuk mengambil sikap bertanggungjawab mendaftar dan mencarum pekerja bagi memastikan perlindungan sosial mereka.

