KUALA LUMPUR, 23 November – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Kenya bermula hari ini dan dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kenya.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad memaklumkan, Perdana Menteri dijangka tiba di Nairobi pada pukul 6 petang waktu tempatan sejurus menamatkan lawatan rasmi di Johannesburg, Afrika Selatan.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Kenya, William Samoei Ruto, dengan perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dalam projek perumahan mampu milik.
“Antara topik yang akan dibincangkan ialah projek rumah mampu milik. Presiden Kenya sangat aktif menerajui agenda ini, manakala Malaysia mempunyai pengalaman yang terbukti berjaya dalam membantu rakyat memiliki rumah. Kerjasama ini boleh dimanfaatkan untuk membantu Kenya melaksanakan projek serupa.
“Selesai mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Kenya. Selepas acara rasmi di State House, Perdana Menteri akan menghadiri Malaysia–Africa Higher Education Forum untuk menyampaikan ucaptama dan merasmikan forum tersebut,” katanya.
Ruzaimi berkata demikian pada sidang media secara dalam talian sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Kenya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara dijangka meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi digital, selain perdagangan sedia ada yang melibatkan minyak sawit dan produk berasaskan sawit.
“Ekonomi digital merupakan bidang baharu yang berpotensi besar. Beberapa syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor ini sudah mula memasuki pasaran Kenya, yang memerlukan sokongan serta kepakaran daripada syarikat kita yang lebih berpengalaman,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta dokumen kerjasama, antaranya dalam bidang pelancongan serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Nairobi City Council.
Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Malaysia–Kenya High Level Business Forum yang menghimpunkan kira-kira 200 wakil syarikat dari kedua-dua negara.
Dalam program lain, Datuk Seri Anwar juga akan bertemu pemimpin dan wakil komuniti Islam Kenya serta menyampaikan sumbangan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Swahili.
Mengulas hubungan dua hala, Ruzaimi berkata hubungan Malaysia–Kenya semakin erat, khususnya dalam bidang perdagangan, pendidikan, sains dan teknologi.
Mengiringi lawatan rasmi tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

