BAYAN LEPAS, 16 Disember – Bagi sesetengah keluarga di Bukit Gedung, Bayan Baru, kegembiraan menyambut Krismas bukan hanya tentang perhiasan rumah dan hidangan tradisional, tetapi juga bergantung kepada kesedaran alam sekitar melalui kitar semula.
Menurut Xavier Sebastian, kakitangan veteran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), setiap anggota masyarakat perlu cakna terhadap kebersihan dan kitar semula walaupun ketika musim perayaan. Jelasnya, bahan kitar semula boleh digunakan untuk menghias rumah, termasuk mengumpul minyak masak terpakai untuk dikitar semula.
“Selain menyambut perayaan dengan memanggil jiran dan rakan, saya juga mempromosi penggunaan bahan kitar semula untuk perhiasan, contohnya satu hiasan menunjukkan kelahiran Jesus. Minyak masak terpakai akan dikumpul dalam kontena dan dijual, mendapat sekitar RM2.50 hingga RM3 sekilogram. Dengan cara ini, saya memperoleh pendapatan sambil mengelak pencemaran. Satu titik minyak masak terpakai boleh mencemarkan seribu liter air,” kata Xavier.
Sementara itu, Rani Kaur, seorang pegawai bank, berkongsi pengalamannya mengasingkan minyak masak selepas memasak kuih tradisional seperti kuih loyang untuk dikitar semula.
“Biasanya kita tidak digalakkan menggunakan minyak terpakai, tetapi selepas berbincang dengan suami, saya mula mengasingkan minyak itu untuk dikitar semula selepas membuat kuih,” katanya.
Sambutan Krismas yang sinonim dengan perhiasan rumah, pokok Krismas dan hidangan tradisional kini mendapat sentuhan baharu melalui kesedaran alam sekitar, sekaligus menyemai keharmonian dan kelestarian dalam masyarakat.


Xavier Sebastian (kanan) dan Rani Kaur ditemu bual RTM