KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Pendidikan Tinggi komited memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi di semua institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan, antara perkembangan terbaharu melalui usaha tersebut ialah penubuhan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini dalam proses renovasi, selain pemeteraian memorandum kerjasama antara UTM dan Infineon Technologies.
“Dan yang menarik yang antara yang dibuat oleh UTM ini mereka membuat seperti language model ini yang melibatkan fatwa-fatwa, tapi ia hanya mereka memastikan bahawa fatwa-fatwa yang sah yang dikeluarkan saja oleh Jabatan Agama yang dimasukkan dalam localize.
“Jadi apabila carian dibuat, ia tidak terlibat dengan maklumat-maklumat yang di luar itu. Jadi ini antara yang perkembangan terkini”, katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Negara.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan menerusi Belanjawan 2025, sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi tujuan tersebut untuk memperkasa empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia, khususnya dalam pembangunan penyelidikan AI.
Selain itu, hampir semua universiti awam serta sebahagian institusi pengajian tinggi swasta kini menawarkan program akademik berkaitan AI berlandaskan pendidikan berasaskan nilai (value-based education).
Manakala, menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pula akan menjalankan audit berkala bagi memastikan program AI di universiti awam dan swasta mematuhi standard yang ditetapkan.

