KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tambah baik sistem Pengesanan KPM (SiPKPM) menerusi integrasi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menangani isu keciciran murid.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, melalui inisiatif yang mula dilaksanakan tahun ini telah berjaya meningkatkan keupayaan sistem bagi meramal laluan pendidikan dan kerjaya murid berisiko cicir.
Ia sekali gus membantu Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) melaksanakan intervensi yang lebih bersasar, cekap dan berkesan dalam menangani isu tersebut secara proaktif.
“Terkini mulai sesi persekolahan Tahun 2026, KPM akan terus menambah baik SiPKPM dengan membangunkan Modul Intervensi Murid Cicir dan Murid Berisiko Cicir berintegrasi AI.
“Modul tambahan ini akan menganalisis data penting seperti corak kehadiran, pencapaian akademik, rekod disiplin, dan latar belakang sosioekonomi keluarga murid.
“Berdasarkan analisis terperinci ini, SiPKPM akan mengesyorkan bentuk intervensi yang paling sesuai untuk memastikan tindakan susulan adalah lebih berfokus, tepat dan berkesan, seterusnya membantu murid kekal dalam sistem pendidikan”, katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris di Dewan Negara.
Mengulas mengenai usaha menangani cabaran di kawasan pedalaman dan luar bandar pula, Wong berkata, KPM turut melaksanakan beberapa inisiatif strategik.
Antaranya, mempergiat Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) dengan turut memperluas konsep K11 ke lima sekolah bagi mengurangkan keciciran dalam transisi dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 serta Tingkatan 3 ke Tingkatan 4.
Selain, menyalurkan 18 jenis bantuan persekolahan termasuk Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid (PPM) serta Bantuan Jaket Keselamatan (JKM) dan menyediakan kemudahan asrama harian bagi murid yang tinggal jauh dari sekolah.
Program Outreach Murid Cicir juga turut dijalankan di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama komuniti setempat yang memberi sokongan terus kepada murid yang tercicir atau berisiko cicir.
Wong yakin gabungan intervensi berasaskan teknologi AI serta pelaksanaan inisiatif di lapangan mampu menangani isu keciciran secara holistik.

