KPM hapus SPLKPM untuk ringankan beban guru

BUTTERWORTH, 14 Disember – Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) bakal dihapuskan bermula tahun hadapan dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan komitmen berterusan kementeriannya setelah meneliti pelbagai pendekatan dalam memastikan beban guru terus berkurangan.

Jelasnya, menerusi pemansuhan SPLKPM, para guru diharap dapat memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dengan meningkatkan pembelajaran dan pengajaran, selain menguasai pedagogi dan melakukan reformasi di dalam kelas yang bakal melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu.

“Kita mahu guru kita memberikan tumpuan yang secara penuh dalam kelas dan khususnya untuk memberikan tumpuan dan kepada isu-isu kurikulum baru dan juga pelan pengguna baru”, katanya.

“Jadi SPLKPM ini kita hapuskan dengan hasrat untuk terus memberikan keyakinan dan juga sebagai usaha konsisten untuk terus mengurangkan beban guru.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam.