KPKT perluas pembangunan papan pemuka analitik MUO, kesan kawasan risiko banjir

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia akan memperluaskan pembangunan papan pemuka analitik Malaysia Urban Observatory (MUO) untuk pengesanan kawasan berisiko bencana banjir ke negeri lain mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam penggulungannya berkata setakat ini, pembangunan papan pemuka analitik itu telah pun disiapkan untuk Perak dan Selangor.

“Papan pemuka analitik ini membolehkan pengesanan kawasan yang berpotensi mengalami banjir dan banjir kilat dengan mengenal pasti jenis guna tanah seperti kawasan pembinaan, perumahan dan perniagaan sebagai langkah pencegahan dan mitigasi bersama pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, ia juga akan memaparkan peta kawasan bencana alam seperti banjir berserta lapisan data guna tanah,” katanya.

Datuk Aiman Athirah berkata sistem MUO diintegrasikan dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperkukuh ketepatan maklumat, dengan data masa nyata digabungkan menggunakan kaedah pembelajaran mesin untuk menghasilkan ramalan berdasarkan corak seperti musim, masa, lokasi dan jenis guna tanah.