KUALA LUMPUR, 15 Disember – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah proaktif memastikan pusat asuhan kanak-kanak dan institusi pendidikan swasta mematuhi piawaian keselamatan, susulan peningkatan operasi premis tersebut di kawasan komersial.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu memaklumkan kementerian telah mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Penubuhan Taska dan Tadika sejak 2017.
Beliau berkata garis panduan itu menjadi rujukan pihak berkuasa negeri dan tempatan dalam merancang serta mengawal pembangunan taska dan tadika, termasuk di bangunan bertingkat sehingga lima tingkat atau 18 meter, dengan mengambil kira aspek keselamatan kebakaran.
“Garis panduan perancangan ini turut menekankan prinsip-prinsip perancangan dan penubuhan tadika dan taska seperti mana berikut. Pertamanya aspek keselamatan iaitu lokasi tadika dan taska tidak terletak di kawasan berisiko bencana, kemalangan, pencemaran yang menyukarkan usaha-usaha menyelamat.
“… sekiranya berlaku kebakaran dan hal-hal kecemasan serta tidak menimbulkan kacau-ganggu kepada penduduk dan juga pengguna di sekitarnya. Kedua, penyediaan kemudahan yang mencukupi dan tumpuan harus diberi kepada kawasan kejiranan yang mempunyai majoriti berkeluarga.
“Ketiga, susun atur dan reka bentuk tadika dan taska perlulah mengutamakan keselesaan kanak-kanak bagi menggalakkan kanak-kanak bergerak bebas berdasarkan prinsip reka bentuk sejagat”, katanya di Dewan Negara.
Bagaimanapun, antara syarat utama ditetapkan termasuk keperluan sokongan agensi teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain kelulusan pelan bangunan dan ubah suai oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi premis rumah kedai dan bangunan bertingkat.
Menurut Datuk Aiman Athirah, pada tahun 2024, lebih 700 operasi pemantauan dijalankan dengan puluhan kompaun dan notis dikeluarkan. Manakala pada tahun 2025, hampir 500 operasi dilaksanakan dengan peningkatan jumlah tindakan penguatkuasaan.
KPKT menegaskan pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap premis pendidikan kanak-kanak beroperasi secara selamat, teratur dan mematuhi undang-undang demi melindungi nyawa serta kesejahteraan kanak-kanak.

