DAMANSARA, 9 Disember – Para alumni diingat untuk terus aktif menyumbang kembali kepada universiti melalui bimbingan, perkongsian pengalaman, peluang kerjaya dan pembangunan jaringan profesional.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), menzahirkan titah bahawa komitmen itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan di UniMAP, malah memberi impak positif kepada masyarakat, negeri Perlis dan negara secara keseluruhan.
“Sebagai alumni, anda mempunyai peluang unik untuk membimbing dan memberi panduan kepada pelajar semasa.
“Nasihat dan tunjuk ajar anda bukan sahaja membantu mereka mengelakkan kesilapan, tetapi turut membentuk mereka menjadi individu yang berdaya saing, yakin diri dan berintegriti,” titah baginda pada Majlis Perhimpunan Alumni Industri Universiti Malaysia Perlis Chapter Tengah Dan Selatan 2025 di sini, pada Selasa.
Baginda turut menekankan, kejayaan alumni bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata, tetapi untuk memberi inspirasi serta menyokong pembangunan pelajar agar bersedia menghadapi cabaran di masa hadapan, dengan nilai integriti, kemahiran dan profesionalisme yang tinggi.
Sehubungan itu, alumni perlu terus membangunkan jaringan kerjaya, peluang latihan industri, dan program akademik berterusan yang memberi kelebihan kompetitif kepada pelajar.
Dengan komitmen tersebut, titah baginda, alumni bukan sahaja memperkasa UniMAP, tetapi turut memberi impak yang lebih luas kepada kemajuan masyarakat, negeri dan negara.
Baginda menzahirkan keyakinan, bahawa hubungan erat antara alumni, industri dan universiti akan membuka ruang baharu dalam pembangunan pelajar, penyelidikan dan pembinaan masa depan negara.

