KL dijangka alami peningkatan hujan, DBKL siaga hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Kuala Lumpur dijangka akan mengalami peningkatan kadar keamatan hujan di beberapa lokasi sehingga mencecah 120 milimeter sejam (mm/j) susulan peralihan monsun yang membawa taburan hujan lebih tinggi daripada paras biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, sebagai langkah mitigasi banjir, pihaknya telah mengenal pasti 15 kawasan berisiko banjir di Kuala Lumpur dan melaksanakan beberapa tindakan termasuk pemasangan siren amaran yang akan diaktifkan apabila paras air mencapai tahap tertentu.

Ia bagi memberi peringatan awal kepada penduduk supaya mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Kadar biasa 80mm/j tetapi tempoh hari hujan jatuh hingga 116mm/j dan kita jangkakan mungkin selepas ini ada sehingga 120mm/j. Hal itu kemungkinan boleh menyebabkan banjir,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee di ibu negara.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memantau keadaan cuaca dan berisiko banjir, petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada dalam mod bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.