KKM sasar kuat kuasa larangan penuh vape pada 2026

JOHOR BAHRU, 16 Disember – Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada pada fasa akhir ke arah penguatkuasaan pengharaman penuh rokok elektronik dan vape yang disasarkan bermula 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha tersebut akan memasuki peringkat pembentangan memorandum kepada Jemaah Menteri sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

“Saya yakin memorandum Jemaah Menteri dapat dibentangkan seawal tahun 2026. Walau apa pun tarikh pelaksanaannya, ruang masa sedang dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan langkah ini.

“Kita terlalu banyak mendengar tentang kebejatan penggunaan vape serta kesan buruknya, khususnya terhadap kesihatan awam,” katanya.

KKM sebelum ini menetapkan sasaran untuk mengharamkan sepenuhnya produk rokok elektronik atau vape menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja ke Hospital Permai, Johor Bahru.