KKDW terus perkukuh infrastruktur luar bandar

KUALA LUMPUR, 12 December – Infrastruktur asas dan pembangunan modal insan di kawasan luar bandar akan terus diperkasa, dalam memastikan keterangkuman serta kesejahteraan rakyat.

Komitmen tersebut ditegaskan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan),​ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Dr. Roslan Mahmood.

Jelas beliau, perancangan itu merangkumi pembangunan jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik, program perumahan PPRS, inisiatif sosial, ekonomi serta pembangunan insan.

“Sememangnya KKDW menjurus kepada apa yang ditetapkan oleh kerajaan MADANI. Dari segi infrastruktur asas seperti jalan luar bandar, bekalan elektrik, bekalan air, rumah PPRS serta program ekonomi dan modal insan semuanya selari dengan hasrat kerajaan. Dengan peruntukan RM12.04 bilion tahun hadapan, kita dapat terus memberi kesejahteraan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau ditemui media selepas siaran Selamat Pagi Malaysia di Kota Media Angkasapuri.

Menurut Datuk Dr Roslan lagi, pelaksanaan infrastruktur asas ketika ini menunjukkan perkembangan positif, termasuk pembinaan 3,900 kilometer jalan luar bandar dalam tempoh tiga tahun.

Bagi bekalan elektrik, capaian kini mencecah 96 peratus, dengan negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka mencapai tahap penuh 100 peratus.

Sabah masih mencatatkan capaian elektrik paling rendah, namun menunjukkan peningkatan.

Bekalan air dibeberapa negeri pula telah mencapai liputan 100 peratus, manakala Sabah berada pada kadar 70 peratus, dengan projek naik taraf sedang giat dilaksanakan.

Di samping itu, program TVET di bawah KKDW terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat kebolehpasaran graduan minimum 95.1 peratus, sekaligus menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada pelatih.

“Kalau ada 100 orang mengikuti program TVET kita, minimum 95 orang akan mendapat pekerjaan setelah tamat.

Ia merupakan bukti program TVET KKDW benar-benar memberi impak,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan, kementerian serius menangani isu penghijrahan belia dari luar bandar ke bandar dengan menyediakan lebih banyak peluang ekonomi setempat, termasuk program keusahawanan dan bantuan pembiayaan.

Program bimbingan keusahawanan melalui institusi pendidikan seperti Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) turut dilaksanakan bagi melahirkan usahawan desa yang mampu membuka perniagaan di kampung sendiri.

“Kita mahu kurangkan migrasi ke bandar dengan merapatkan jurang kemudahan. Melalui program keusahawanan dan bantuan seperti geran serta latihan, masyarakat luar bandar boleh memajukan perniagaan tanpa perlu berhijrah,” katanya.

Jelas beliau lagi, pelbagai kemudahan tambahan juga sedang dan akan disediakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus terjamin.