LABUAN, 9 Disember – Jalinan kerjasama pengendali Pelabuhan Labuan, Megah Port Managment (MPM) dengan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) berupaya membuka peluang meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing dalam sektor maritim.
Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Idjal Tahir berkata, pihaknya sedia menjalin kerjasama dengan pihak LPSB, khususnya dalam pertukaran kepakaran dan amalan terbaik dalam pengurusan pelabuhan, selain memperkukuh kapasiti operasi.
“MPM yang beroperasi di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) mempunyai kepakaran luas dalam pengendalian kargo termasuk pengurusan ketibaan kapal RO-RO yang membawa masuk kenderaan import ke Labuan.
“Pengiktirafan daripada ‘Labuan Freight Forwarders Association’ mencerminkan prestasi kukuh Pelabuhan Labuan serta komitmennya dalam memenuhi jangkaan industri,” katanya di sini.
Terdahulu, beliau menerima lawatan delegasi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan LPSB ke pelabuhan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani berkata, Labuan dan Langkawi mempunyai persamaan sebagai pulau bebas cukai, sekali gus mewujudkan asas semula jadi untuk menjalinkan kerjasama.
Katanya, aktiviti pelabuhan di Langkawi lebih berfokus kepada sektor pelancongan, namun kerjasama seperti perkongsian pengetahuan dan penanda aras operasi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

