Kerjasama kerajaan-industri diperkasa, dorong usahawan agro lebih progresif

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri akan terus diperkasa sebagai landasan kukuh dalam membangunkan ekosistem usahawan agro yang progresif dan berdaya saing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan pengukuhan sinergi tersebut adalah langkah strategik bagi memperkasakan dasar pertanian serta memperluas sokongan menyeluruh kepada sektor ini.

Beliau berkata, usaha berkenaan diyakini mampu menjadikan sektor pertanian sebagai tunjang keselamatan makanan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Di peringkat Kementerian, kami bukan sahaja berperanan dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan program, malah turut menumpukan usaha memperkukuh rantaian nilai pertanian, meningkatkan produktiviti, menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi, serta memastikan penyertaan inklusif semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agro Biz Awards 2025 yang berlangsung di ibu negara.

Majlis anjuran Agrobank itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf kejayaan usahawan tani dari seluruh negara dalam memacu kemajuan sektor agromakanan, selain menyokong aspirasi pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.

Datuk Seri Mohamad Sabu juga menyifatkan penganjuran majlis seumpama ini selari dengan aspirasi kementerian dalam memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian, memperkasakan usahawan tempatan, serta memastikan keterjaminan makanan negara dicapai secara menyeluruh.

“Melalui inisiatif ini, ekosistem sokongan sektor pertanian dapat diperkasakan lagi melalui pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penglibatan golongan wanita dan belia, galakan inovasi, serta mewujudkan peluang ekonomi kepada golongan orang kurang upaya (OKU),” jelasnya.