Kerjasama JCS-OCIS lahirkan pegawai muda dinamik

KUALA LUMPUR, 12 Disember – Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) serta Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) meneroka peluang kerjasama, dengan mewujudkan program khas bagi meningkatkan ilmu dan tahap keupayaan pegawai tadbir negeri Johor dalam penyediaan perkhidmatan kepada rakyat.

Kerjasama dicadangkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, antara lain melatih dan melahirkan pegawai muda yang lebih dinamik serta berkebolehan, seiring hasrat Kerajaan Johor untuk sentiasa meningkatkan tahap keupayaan JCS.

Raja Zarith Sofiah bertitah program kerjasama itu akan meningkatkan pengetahuan mengenai amalan pembuatan keputusan dalam kerajaan, seperti contoh di Whitehall, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan England.

“Sejarah menunjukkan banyak aspek sistem pentadbiran kita disesuaikan daripada United Kingdom.

“Ilmu ini akan membuka mata dan membantu JCS dalam merangka serta menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik untuk rakyat,” titah Raja Zarith Sofiah kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas mengadakan lawatan ke OCIS di Oxford, United Kingdom.

Raja Permaisuri Agong turut mengutarakan mengenai penglibatan Pegawai Tadbir Agama Johor untuk turut serta bersama rakan-rakan JCS dalam program bersama OCIS bagi tujuan yang sama.