PUTRAJAYA, 7 Disember – Kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi mempercepatkan proses pembayaran balik cukai kepada rakyat, selaras dengan prinsip moral dan ihsan di bawah gagasan MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima banyak maklum balas bahawa meskipun sistem kutipan cukai menjadi lebih cekap hasil pendigitalan dan penambahbaikan di LHDN, sebahagian pembayar cukai masih menunggu lama untuk menerima bayaran balik mereka.
“Kerajaan tidak boleh berhutang dengan rakyat. Ini adalah soal moral, ihsan, dan prinsip MADANI. Sebab itu, kita menambah RM2 bilion lagi untuk melicinkan pembayaran balik,” kata Perdana Menteri dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata LHDN akan mula mengagihkan pembayaran balik tertunggak mulai minggu ini, dengan Kementerian Kewangan dan unit pemantauan sedang menilai sama ada jumlah tersebut perlu ditambah lagi bagi memastikan tiada bayaran tergendala.
Semalam, kerajaan mengumumkan peningkatan peruntukan bagi pembayaran balik cukai terlebih bayar kepada RM4 bilion, dua kali ganda daripada jumlah asal RM2 bilion, dalam usaha mempercepatkan proses pemulangan kepada rakyat dan peniaga kecil.

