
(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) daripada aspek sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keperluan ini seiring dengan keadaan dan situasi semasa agar menjamin keharmonian dalam sesebuah negara.
“Jadi, saya menyatakan mungkin kita perlu menilai dalam elemen positif, akta sedemikian yang dicadangkan berbentuk punitif.
“Maknanya kalau dia langgar, dia akan dikenakan denda. Itu lebih senang diselesaikan atau disabitkan. Kalau ikut jenayah, prosedur, pengukuran bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas Forum Malaysia Di Ambang PRN 2023 di ibu negara.
Tambah Azalina, perkara tersebut menerima maklum balas positif daripada kabinet.
Forum berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membicarakan berkenaan situasi politik dalam negara.

(Foto BERNAMA)

