KUALA LUMPUR, 16 Disember – Kerajaan memberi jaminan proses bayaran balik lebihan cukai akan terus diperkemas melalui langkah penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan agihan dilakukan secara adil, telus dan mampan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia telah menyelesaikan proses bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM14.55 bilion melibatkan 3.47 juta bilangan kes setakat 30 November 2025.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 17.5 peratus berbanding bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM12.39 billion yang melibatkan 2.71 juta kes yang direkodkan pada tahun lepas.
“Dalam jangka panjang, pengurusan hasil dan bayaran balik tertakluk kepada rangka kerja fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, termasuk keperluan memperkukuh tadbir urus fiskal serta pengurusan lebihan hasil secara mampan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Koh Nai Kwong di Dewan Negara.
Lim berkata kerajaan akan memastikan peruntukan tabung bayaran balik mencukupi melalui penambahbaikan unjuran bayaran balik berdasarkan trend data dan tahap pematuhan pembayar cukai. Prosedur anggaran dan pembayaran cukai turut diperbaiki untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mengelakkan tekanan kewangan mendadak.
Beliau menjelaskan Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan pampasan 2 peratus kepada pembayar cukai jika Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lewat memproses dan membayar balik lebihan cukai selepas tempoh ditetapkan. Pampasan dikira selepas 90 hari untuk borang e-Filing dan 120 hari untuk borang manual, tertakluk kepada syarat borang lengkap dan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan.
Lim menasihatkan pembayar cukai yang layak tetapi belum menerima pampasan supaya menghubungi LHDN untuk semakan lanjut.
Beliau turut menjelaskan berhubung sekatan keluar negara bahawa tindakan tersebut boleh berpunca daripada pelbagai agensi termasuk LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, dan individu boleh merujuk kepada LHDN atau kementerian berkenaan bagi kes tertentu.

