KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerangka awal laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Kompetensi Dewan Undang Negeri yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan dijadikan rujukan penting bagi menentukan hala tuju reformasi undang-undang Islam di peringkat negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan bahawa, inisiatif ini dilaksanakan supaya institusi Mahkamah Syariah diperkukuh, susulan keputusan penting Mahkamah Persekutuan berhubung kes Kes Nik Elin pada Disember 2024.
“Selari dengan itu, Kerajaan MADANI memperkukuh penyelarasan undang-undang Syariah melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
“JPIK menyelaras, menambah baik dan menyeragamkan undang-undang Syariah antara negeri di samping mengharmonikan peruntukan Syariah dengan undang-undang Sivil,” ujar beliau di Dewan Negara hari ini.
Dari segi penstrukturan institusi, beberapa negeri telah menggubal enakmen baharu untuk mewujudkan sistem kehakiman Syariah empat peringkat, termasuk penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai peringkat tertinggi.
Setakat ini, tiga negeri telah meluluskan struktur empat peringkat tersebut iaitu Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.
Kerajaan menegaskan bahawa hala tuju memodenkan Mahkamah Syariah, menyeragamkan undang-undang, dan memperkukuh institusi kehakiman Islam dijalankan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, sebagai sebahagian daripada aspirasi keadilan dan martabat Islam di negara ini.
Beliau menjawab soalan dikemuka Senator Musoddak Ahmad berhubung halatuju kerajaan dalam memperkasa Mahkamah Syariah di peringkat negeri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Nik Elin pada Disember tahun lalu.

