PETALING JAYA, 11 Disember -Langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta bermula tahun depan disifatkan sebagai keputusan yang tepat, kerana ia memberi ruang kepada peniaga kecil menyesuaikan operasi tanpa beban pematuhan segera.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata kenaikan ambang tersebut juga dijangka memastikan pelaksanaan e-Invois dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan stabil untuk semua pihak.
Tambah beliau, pihaknya bersyukur kerana langkah itu akhirnya direalisasikan, sekali gus memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bernafas serta mengurus operasi tanpa tekanan tambahan.
Menurutnya, terdapat dua isu utama yang paling kerap dibangkitkan oleh PKS berhubung pelaksanaan e-invois.
“Pertama, kos pematuhan yang tinggi, merangkumi perisian, integrasi sistem dan latihan pekerja bagi memastikan mereka memahami cara mengendalikan e-invois.
“Kedua, ramai PKS termasuk yang hampir mencapai atau telah melebihi jualan RM1 juta, masih bergantung kepada proses manual dan belum bersedia dari segi teknologi serta sumber manusia,” katanya di sini.
Sementara itu pada masa sama beliau menyifatkan kenaikan nilai ambang tersebut turut memberi ruang kepada peniaga kecil untuk beralih ke sistem digital secara berperingkat.

