Kempen Internet Selamat dilaksana di 8,585 sekolah dan IPT

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kempen Internet Selamat (KIS) telah dilaksanakan di 8,585 sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), melibatkan seramai 394,477 pelajar setakat 5 Disember 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pelaksanaan KIS peringkat masyarakat umum turut menunjukkan perkembangan positif dengan penganjuran 472 program membabitkan 288,852 peserta di seluruh negara.

Beliau berkata kempen itu merupakan antara usaha kementerian dalam memperkukuh pendidikan penggunaan internet secara selamat dalam kalangan pengguna pelbagai peringkat.

“Kita berharap melalui kempen ini, apabila kita masuk ke sekolah dan berdialog dengan murid serta pelajar, mereka lebih tahu bagaimana melindungi diri dan bantuan apa yang boleh diminta apabila berdepan isu dalam talian,” katanya.

Nie Ching berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator NorHasmimi Abdul Ghani mengenai usaha kerajaan memperkasa mekanisme laporan dan aduan awam bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diambil terhadap kesalahan di ruang siber.