Kempen Internet Selamat 2.0 diperkasa tahun hadapan

PUTRAJAYA, 16 Disember – Keselamatan dalam talian akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 yang dijadualkan diperhebatkan di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kempen tersebut merupakan usaha bersepadu bagi membentuk masyarakat celik digital selain mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan remaja.

Menurut beliau, tanggungjawab memastikan keselamatan siber tidak boleh digalas oleh kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti setempat.

“Kita perlu menyampaikan mesej yang sama, iaitu memastikan internet selamat. Ia bukan hanya tanggungjawab MCMC, kerajaan atau PDRM, tetapi ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memastikan anak-anak selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November dan Disember 2025 di sini hari ini.

Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa satu mega jerayawara Kempen Internet Selamat akan dilancarkan pada Februari depan bersempena Safer Internet Day, yang disambut sekitar 11 Februari setiap tahun.

Jerayawara tersebut akan melibatkan jelajah ke seluruh negara dengan penyertaan barisan kepimpinan kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) serta organisasi masyarakat sivil bagi memastikan mesej keselamatan internet difahami dan diamalkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Tahun ini, lebih 8,500 sekolah melibatkan hampir 400,000 pelajar telah menyertai Kempen Internet Selamat 2025, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.