KOTA KINABALU, 11 Disember – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan Award Akhir bernilai ASD14.9 bilion, yang sebelum ini memihak kepada penuntut yang mengaku waris Kesultanan Sulu.
Ia disifatkan sebagai penghakiman muktamad dan kemenangan besar buat Malaysia.
Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi pendirian tegas Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia dan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali lagi mengesahkan pendirian Sabah selama ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan mahkamah yang dikeluarkan pada Selasa lepas, memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.
Datuk Hajiji turut mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah.
Kerajaan Negeri Sabah kekal komited sepenuhnya untuk meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menolak sebarang tuntutan yang mungkin timbul pada masa akan datang.

