Kelonggaran e-Invois beri peluang peniaga stabilkan operasi

KUCHING, 13 Disember – Langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta memberi kelegaan kepada peniaga serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak.

Peniaga boleh memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan operasi dan meningkatkan produktiviti sebelum sistem itu dilaksanakan sepenuhnya.

Peniaga Adib Othman berkata, ia juga membantu meringankan beban peniaga kecil, tanpa pematuhan segera.

“Sebagai perniagaan mikro, kami tidak mampu atau tidak mempunyai kapasiti untuk menanggung lebih banyak kerja berkaitan dokumentasi. Selain itu, perkara itu juga melibatkan kos. Bagi kami, sudah tentu kami gembira dan menerima baik keputusan berkenaan,” katanya ketika ditemui RTM.

Bagi Alan Wei, langkah itu turut memberi ruang kepada peniaga memperkukuh sistem perakaunan sebelum beralih sepenuhnya kepada e-Invois.

“Jadi, satu cara atau yang lain, ia sebenarnya meningkatkan banyak kos bagi kami, terutamanya dari segi pentadbiran kerana kami perlu memperkukuh pejabat untuk membuat penghantaran e-Invois setiap bulan.

“Sebelum ini, bagi perniagaan kami biasanya menghantar sekali setahun untuk penyediaan audit akaun, tetapi sekarang ia menjadi setiap bulan.

“Bagaimanapun, ini sebenarnya amalan yang baik. Ia merupakan amalan terbaik jika seorang usahawan atau perusahaan bergerak ke arah pertumbuhan dan tahap pendapatan yang lebih tinggi. Saya fikir ini adalah petanda yang baik,” katanya.

Kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RMl juta bermula tahun depan sebagai langkah mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung rungutan peniaga kecil mengenai kos melaksanakan sistem itu.