JOHOR BAHRU, 11 Disember – Faktor kelemahan kontraktor dalam aspek pengurusan projek dan pengurusan kewangan dikenal pasti sebagai punca kepada 75 peratus projek sakit bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, meskipun jumlah projek sakit hanya merangkumi sekitar lima peratus daripada keseluruhan projek, isu berkenaan tetap diberi perhatian serius kerana melibatkan kepentingan awam serta kelancaran pembangunan negara.
Siasatan mendapati terdapat dua punca utama kelewatan dan kegagalan projek, iaitu kelemahan pengurusan projek dan kelemahan pengurusan kewangan daripada kontraktor.
“Saya berharap dua perkara utama ini dapat diatasi oleh kontraktor yang menerima projek bawah Kementerian Kerja Raya, iaitu kelemahan dalam pengurusan projek dan kelemahan dalam pengurusan kewangan.
“Dari segi pengurusan projek, komponennya merangkumi bahan binaan yang perlu diperoleh pada harga berpatutan dan dalam kuantiti mencukupi, sama ada menggunakan IBS, BIM dan sebagainya.
“Komponen lain yang sama penting ialah pengurusan sumber manusia. Semua aspek ini perlu ditambah baik bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan,” katanya demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Cawangan Jalan di bawah KKR dan KKDW di sini.
KKR turut mengambil pendekatan tegas terhadap kontraktor yang gagal mematuhi jadual dan standard kerja, termasuk mengeluarkan surat amaran secara berperingkat serta melaksanakan pemantauan di tapak projek oleh pegawai penguasa.

