Kebocoran di Terminal 1 KLIA : Keselamatan penumpang diutamakan

SEPANG, 14 November – Beberapa bahagian di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) mengalami kebocoran susulan hujan lebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan kejuruteraan, operasi dan keselamatan segera di lokasi untuk menangani kebocoran.
  • Keselamatan penumpang diutamakan serta langkah melindungi sistem elektrik diambil.
  • Kaunter daftar masuk K dan L dibersihkan, diperiksa dan dibuka semula setelah disahkan selamat.
  • Fungsi utama lapangan terbang seperti Aerotrain dan sistem bagasi tidak terjejas; pemeriksaan berterusan dijalankan.

Malaysia Airports Holdings Berhad, (MAHB) memaklumkan susulan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.14 petang tadi, pasukan kejuruteraan, operasi dan keselamatan telah ke lokasi bagi menangani situasi berkenaan.

“Keselamatan penumpang diberi keutamaan, disamping usaha membendung serta melindungi sistem elektrik.

“MAHB berhubung rapat dengan rakan kongsi bagi meminimumkan sebarang impak kepada operasi,” katanya.

Kaunter daftar masuk K dan L telah terjejas dan kemudian dibuka semula selepas air dibersihkan dan pemeriksaan sistem penting mendapati lokasi selamat digunakan.

Fungsi asas lapangan terbang termasuk pemprosesan penumpang, pergerakan terminal dan sistem utama seperti Aerotrain dan sistem pengendalian bagasi tidak terjejas.

Pemeriksaan teknikal masih diteruskan dan beberapa fungsi sokongan kekal dipantau rapi.