Kebakaran hutan Sri Gombak padam sepenuhnya, tiada mangsa terlibat

GOMBAK, 12 Disember – Satu kebakaran hutan dilaporkan berlaku lewat malam tadi di kawasan berhampiran Tangki Air Selangor di Taman Sri Gombak Fasa 7, Pinggiran Batu Caves di sini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.49 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas kira-kira 100 x 200 kaki persegi.

Operasi pemadaman api dijalankan oleh 10 anggota dengan kekuatan jentera FRT, CFRT dan sebuah lori tangki air.

Sementara itu Komander Operasi, Suhaimi Samoori mengesahkan tiada mangsa terlibat dan api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 1.50 pagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Usaha memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat diteruskan.

JBPM Selangor menegaskan komitmen untuk terus bertindak cepat dan mesra demi keselamatan penduduk setempat.