KUALA PILAH, 13 Disember – Mini Karnival Bijak Tenaga 2025 anjuran Suruhanjaya Tenaga dilihat sebagai platform untuk mendekati masyarakat dalam meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga.
Pengarah Jabatan Kawal Selia Keselamatan Suruhajaya Tenaga Nurhafiza Mohamed Hasan berkata, pendidikan dan panduan keselamatan elektrik mampu mengurangkan risiko kemalangan ketika berada di lapangan.
“Penganjuran karnival ini bertujuan mendidik orang ramai mengenai penggunaan elektrik secara selamat dan berhemah, memandangkan elektrik menjadi keperluan harian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.
“Program berkenaan menampilkan pelbagai gerai interaktif yang bukan sahaja menyasarkan golongan dewasa, malah kanak-kanak turut diberi pendedahan awal mengenai kepentingan memilih peralatan elektrik yang selamat dan cekap tenaga.
“Kanak-kanak diajar supaya mengenal pasti logo SIRIM dan label kecekapan tenaga ketika memilih barangan elektrik. Pendidikan awal ini penting supaya kesedaran terhadap keselamatan dan kecekapan tenaga dapat dibentuk sejak usia muda,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Keselamatan Elektrik & Gas 2025 di sini.
Dalam pada itu beliau menyifatkan penganjuran program berkenaan dapat memastikan seluruh rakyat Malaysia lebih berilmu, peka dan cakna terhadap aspek keselamatan elektrik serta perkembangan teknologi tenaga terkini.
Suruhanjaya Tenaga turut merancang untuk meneruskan penganjuran program interaktif seumpama itu pada masa hadapan bagi memperluas penyampaian maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat.

