Kapasiti tenaga boleh baharu negara capai 32 peratus

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Malaysia berjaya mencapai 32 peratus kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) setakat tahun ini, melebihi sasaran awal sebanyak 31 peratus.

Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz, berkata sasaran itu akan dipertingkatkan kepada 35 peratus menjelang 2030, selaras dengan ketetapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan TBB sebagai sumber penjanaan elektrik negara, termasuk pengenalan konsep grid terbuka menerusi Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).

Selain itu, kerajaan turut menyediakan kuota tambahan 300 megawatt bagi projek biogas, biojisim dan hidro kecil di bawah Skim Feed-in Tariff (FiT) yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

“Setakat akhir tahun 2025, kapasiti tenaga boleh baharu negara telah melepasi 31 peratus dan kini berada pada paras 32 peratus. Ini menunjukkan perancangan yang dibuat berada di landasan yang betul dan sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai.

“Dalam masa yang sama, keutamaan kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat kerana setiap perancangan dalam sektor tenaga mempunyai implikasi kepada pengguna, khususnya dari segi tarif elektrik dan air,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih dan mampan demi kelestarian negara.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM.