Kampung Angkat MADANI: Tiga projek utama siap di Kampung Padang

MELAKA, 29 November – Tiga projek utama bawah Program Kampung Angkat MADANI oleh Jabatan Pertanian di Kampung Padang di sini telah siap sepenuhnya, melibatkan penyediaan kemudahan sosial, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kebajikan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata, antara projek tersebut ialah perolehan sebuah van jenazah bernilai RM168,700 yang selesai sepenuhnya pada 22 Oktober yang lalu.

Selain itu, pembinaan sebuah dewan terbuka baharu telah disiapkan pada 17 November lepas melibatkan peruntukan RM620,350.

Kemudahan itu dijangka menjadi pusat kegiatan komuniti yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya guna bagi penduduk setempat.

Projek ketiga pula melibatkan penambahan serta penyelenggaraan tandas masjid yang turut siap pada 17 November melibatkan kos RM134,850.

Penambahbaikan itu menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan bersih kepada jemaah serta pengunjung masjid, sekali gus meningkatkan mutu kemudahan awam di kampung tersebut.

Menurut Datuk Nor Sam, kejayaan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI adalah hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kewangan selaku agensi peneraju, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) sebagai agensi pemantau, kontraktor terlibat serta kepimpinan kampung yang memberikan komitmen penuh.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 dan diselaraskan bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Program berfokuskan pembangunan seimbang antara bandar dengan desa itu menyasarkan kampung-kampung yang masih memiliki kadar liputan kemudahan asas bawah 50 peratus.