Kabinet teliti perbincangan awal Pelan Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Kabinet meneliti perbincangan awal Pelan Pendidikan Tinggi yang dibentangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelan tersebut adalah perancangan bersifat dasar menyeluruh yang menyentuh pelbagai aspek termasuk pemerkasaan bahasa di institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Menyentuh pelbagai aspek termasuk Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa-bahasa lain yang diguna pakai dalam negara kita, juga akan diteliti dan dimantapkan terutama IPT.

“Diteliti bagaimana beberapa terma itu boleh diungkapkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan dengan baik seperti dalam bidang kecerdasan buatan (AI) antara lain”, katanya.

Datuk Fahmi turut memberitahu keputusan Jemaah Menteri mengenai perbincangan awal pelan tersebut akan dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada petang ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen.