Kabinet baharu diharap beri impak pembangunan ke akar umbi – Kon Yeow

TELUK BAHANG, 17 Disember– Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan agenda Ekonomi MADANI dan kebajikan rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan sebelum berakhirnya penggal pemerintahan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan rombakan kabinet baharu sebagai pasukan penting untuk memastikan hasil pembangunan dirasai terus oleh rakyat hingga ke akar umbi.

Jelas beliau, keberhasilan pentadbiran kini bergantung kepada keupayaan pentadbiran baharu menguruskan isu sara hidup selari pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Kon Yeow turut menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memperkasa urusan perdagangan negeri.

“Saya berpandangan Perdana Menteri telah mengambil kira keseluruhan situasi semasa dalam membentuk barisan Kabinet, dengan matlamat memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan menjelang penghujung penggal pentadbiran ini.

Kabinet yang dibentuk diharap mampu melaksanakan agenda Ekonomi MADANI dengan berkesan, di samping memastikan rakyat menerima impak yang positif. Selain menekankan pertumbuhan ekonomi, keutamaan turut diberikan kepada aspek kesejahteraan hidup rakyat, khususnya dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di peringkat akar umbi,” kata Kon Yeow kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pemeteraian Perjanjian Francais Eksklusif antara Entopia by Penang Butterfly Farm dan DEMED Turkiye di Teluk Bahang, hari ini.

Menerusi kerjasama itu, jenama kebanggaan Pulau Pinang ini bakal melebarkan sayap ke lapan buah negara termasuk Turkiye, Rusia, dan Mesir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Kon Yeow turut yakin pelantikan Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ujarnya, berdasarkan prestasi cemerlang beliau sebelum ini, beliau yakin bahawa Steven Sim mampu memperkukuh sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta usahawan negara.