LIPIS, 29 November – Situasi banjir di Pahang menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penduduk terjejas menurun kepada 1,725 orang setakat 4 petang, berbanding 2,285 orang pada 12 tengah hari.
Kesemua 558 keluarga yang terlibat kini berada di 45 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah yang terjejas.
Menurut portal Info Bencana JKM, Raub kekal mencatat jumlah penduduk paling ramai terjejas iaitu 645 orang di 14 PPS.
Ini diikuti Lipis dengan 521 orang di 20 PPS, Kuantan (390 orang, lapan PPS), Maran (155 orang, dua PPS) dan Jerantut yang merekodkan 14 orang di satu PPS.
Sementara itu, menurut Public Infobanjir JPS, lima sungai berada pada paras bahaya, termasuk dua di Jerantut iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling dan Sungai Tembeling di Kampung Merting.
Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Pahang di Waterfront Bera, Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis, serta Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.

