Jumlah pelancong di Langkawi meningkat lebih 90 peratus pada Disember

LANGKAWI, 9 Disember – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yakin peningkatan pelancong di Langkawi menjadi asas kukuh untuk menjadikan pulau itu sebagai salah satu destinasi utama Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Perkembangan itu disokong oleh peningkatan jumlah pelancong dalam dan luar negara yang menginap di hotel sehingga melebihi 90 peratus, terutama menjelang musim cuti persekolahan dan Hari Natal tidak lama lagi.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Pantai Cenang, Pantai Tengah serta beberapa penginapan sekitar pekan Kuah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata industri pelancongan di pulau peranginan itu sentiasa bersedia untuk menerima pertambahan mendadak pengunjung dalam dua minggu terakhir Disember.

“Untuk bulan Disember, kita mengharapkan pengunjung hadir seramai 400,000 orang. Itu sasaran kita melalui beberapa penganjuran beberapa acara dan program sempena cuti sekolah. Tambahan pula ketika ini musim tengkujuh juga sudah berakhir, ” katanya pada sidang media selepas Program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE) di Pantai Tengah,Langkawi pada Isnin.

Tambah beliau, angka itu dianggap realistik memandangkan Disember merupakan musim puncak percutian, selain kejayaan kempen “Langkawi Special Deals” yang menawarkan diskaun mencecah 70 peratus.

Setakat akhir November, Langkawi merekodkan kehadiran 2.75 juta pelancong yang memperlihatkan momentum positif sektor pelancongan pulau berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mapan Langkawi.