KLUANG, 13 Disember – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menggalakkkan penduduk Kampung Perak, Simpang Renggam yang bekerja sendiri mencarum bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI).
Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, caruman berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan individu yang bekerja sebagai petani serta tukang rumah terpelihara.
“Kami telah memulakan inisiatif ini dengan menyalurkan sebahagian caruman kepada penduduk, manakala selebihnya ditanggung penduduk sendiri. Secara kebetulan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berada bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Ini sekali gus memudahkan urusan kami dengan PERKESO dan penduduk kampung. Inilah matlamat yang kami sasarkan, supaya penduduk dapat menikmati manfaat secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran KAM JTKSM 2025 di Masjid Al-Ehsan, Kampung Perak, Simpang Renggam, di sini hari ini.
Melalui program itu, turut dilaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur termasuk, pembinaan dewan terbuka, pembelian van jenazah, baik pulih masjid serta balai raya.
Selain pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti sukan rakyat, pertandingan komuniti dan pemeriksaan kesihatan.
Sehingga kini, melalui Program KAM JTKSM seramai 50 penduduk kampung tersebut telah mencarum SKSPS dengan nilai caruman RM157 setahun.

