IPOH, 10 September – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap 11 premis sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di negeri itu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, premis berkenaan terletak di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Batu Gajah, dengan operasi turut mendapat bantuan risikan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).
Beliau berkata, lebih 5,000 tan metrik e-waste telah disita dan tindakan penguatkuasaan melibatkan 11 premis dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK).
“Bagi memastikan aktiviti kilang e-waste haram di Malaysia dan Perak amnya dihentikan, tindakan pemantauan yang ketat harus dilakukan di pelabuhan supaya tiada kemasukan e-waste haram dibawa masuk ke negara ini. Jika kawalan kemasukan dapat dilakukan, secara tidak langsung aktiviti premis proses e-waste haram di Perak akan dapat dibendung,” katanya ketika menjawab soalan dalam sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Tambahnya, jumlah keseluruhan premis e-waste haram yang telah dikuatkuasakan JAS bersama PGA di seluruh negara tahun ini ialah 122 premis.
Daripada jumlah itu, JAS Johor bersama PGA memeriksa 10 premis e-waste haram, manakala di Selangor sebanyak 23 premis diperiksa sepanjang tempoh sama.

