Jambatan Gurney dibuka, pacu akses utama ke Pulau Andaman

GEORGE TOWN, 12 Disember – Jambatan Gurney yang baru dirasmikan di Pulau Pinang kini menyediakan laluan utama terus ke Pulau Andaman, sekali gus membuka akses lebih menyeluruh ke kawasan pembangunan baharu itu.

Pulau Andaman dibangunkan berteraskan konsep ‘bandar 15 minit’, yang memastikan penduduk dan pengunjung menikmati akses mudah ke kemudahan pekerjaan, pendidikan, perhotelan dan rekreasi dalam jarak dekat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata perasmian jambatan tersebut dijangka meningkatkan hubungan ke pulau berkenaan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh daya tarikan pelancongan di kawasan itu.

“Namun dalam konteks yang lebih luas, sama ada Projek Terowong atau Projek Jambatan diteruskan, peruntukan telah pun dibuat untuk memastikan ia disambungkan ke Gurney dan ke Pulau Pinang. Kesemua ini masih menunggu pelaksanaan sebenar, namun perancangan perlu diteruskan lebih awal.

“Kerajaan negeri perlu mengambil kira perkembangan ini, dan aspek kesalinghubungan pada masa depan harus dirancang dari sekarang. Perancangan asas telah pun dilakukan; yang tinggal hanyalah menentukan fasa pelaksanaan bagi projek infrastruktur tersebut,” katanya ketika majlis perasmian Jambatan Gurney di sini.

Jambatan Gurney direka bentuk dengan laluan pejalan kaki selebar 4 meter pada kedua-dua belah, menghubungkan ruang awam Gurney Bay ke Pulau Andaman.