KUALA LUMPUR, 9 Disember – Sebarang keputusan berkaitan rombakan Kabinet adalah bawah budi bicara Perdana Menteri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, beliau tidak menerima sebarang makluman rasmi berhubung perkara berkenaan selepas diminta mengulas spekulasi yang mengaitkan namanya sebagai antara individu yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan di beberapa kementerian.
“Itu perlu dirujuk kepada Perdana Menteri. Setakat ini, saya tidak menerima sebarang makluman berkaitan perkara tersebut.
“Sewajarnya biarlah Perdana Menteri sendiri membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Penyerahan Peralatan ICT (Papan Pintar) kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Brickfields.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 387 SJKT di seluruh negara bakal menerima kemudahan papan pintar selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2026.
Inisiatif itu bertujuan memastikan sekolah terlibat bersedia melaksanakan pembelajaran digital seawal hari pertama sesi persekolahan.
Pelaksanaan inisiatif tersebut dijayakan melalui kerjasama strategik antara Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN), bagi memperluas akses pendidikan berkualiti kepada komuniti India.